PENTERJEMAHAN AUDIOVISUAL
Media memainkan peranan yang penting dalam era globalisasi dan komunikasi global. Pengenalan kepada televisyen satelit yang kemudiannya menjadi amat popular dan, ditambah pula dengan munculnya internet telah menjadikan dunia satu ruangan yang semakin kecil. Seterusnya keadaan ini telah membenarkan orang yang berlainan bahasa dan budaya berhubungan antara satu sama lain, iaitu skrin menjadi alat perantara utama untuk mereka berinteraksi. Apabila keadaan ini berlaku, maka secara tidak langsung terbukalah satu dimensi baru dalam bidang penterjemahan, iaitu penterjemahan audiovisual.
Kebanjiran dokumentari, filem dan rancangan terbitan asing yang ditayangkan di kaca televisyen (TV) dan di pawagam kebelakangan ini menunjukkan bahawa fenomena ini telah lama wujud. Tambahan pula dengan senario masyarakat Malaysia yang berbilang kaum seperti Melayu, Cina dan India telah menjadikan faktor multilingual sebagai sebahagian daripada budaya kehidupan masyarakat tempatan. Walaupun bahasa Melayu (BM) ialah bahasa rasmi, tetapi kaum-kaum lain masih bebas menggunakan bahasa ibunda mereka dalam kehidupan seharian. Justeru itu program-program yang ditayangkan di TV mahupun di pawagam tidak lagi terhad kepada program dalam bahasa Melayu (BM- 2 bahasa rasmi Malaysia) ataupun rancangan dalam bahasa Inggeris (BI-bahasa kedua) sahaja. Program dalam bahasa Kantonis, Mandarin, Tamil, Hindi dan Arab, malahan rancangan dalam bahasa Jepun, Korea, Thai dan Filipina juga turut menjadi tontonan rakyat Malaysia. Sekiranya jika diperhatikan di kaca televisyen, kita disogokkan dengan pelbagai drama bersiri dari pelbagai negara yang pada suatu ketika dahulu begitu asing bagi kita seperti drama bersiri dalam slot Telenovela, slot drama bersiri Latin dan slot drama bersiri Asean. Drama-drama ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada penonton di Malaysia. Oleh kerana itu, kebanjiran program asing ini secara tidak langsung telah membuka satu lagi cabang dalam bidang penterjemahan iaitu penterjemahan audiovisual di Malaysia terutamanya terjemahan sari kata.
Menurut Luyken (1991, hlm. 39), terdapat dua cara untuk mengatasi masalah penghadang bahasa (Language Barriers), iaitu:
- Penyuaraan semula (revoicing) iaitu proses alih suara (dubbing) yang bersinkronis dengan gerak bibir, proses suara latar (voice-over) dan narasi (narration)
- Menggunakan sari kata (subtitle)
Sementara itu, Wan Amizah (1998, hlm. 1) turut mengemukakan dua cara yang digunakan secara meluas dalam terjemahan audiovisual, iaitu:
- Dalam bentuk visual iaitu teks terjemahan yang ditindih di atas gambar dan proses ini dinamakan sari kata
- Dalam bentuk audio iaitu alih suara daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran.
Antara medium terjemahan audio visual yang popular di Malaysia ialah terjemahan sari kata, iaitu proses terjemahan yang melibatkan perkataan atau ujaran, termasuklah dialog, monolog atau suara latar dan seterusnya dipersembahkan dalam bentuk teks yang bertindih pada visual.
Menurut Abdullah & Ainon (2001, hlm. 283), filem 4 mahupun TV berfungsi melalui dua medium deria, iaitu penglihatan (visual) dan pendengaran (audio). Medium visual bagi TV dan filem mengandungi elemen imej yang kekal atau berubah-ubah yang berkisar tentang watak, lokasi, perkembangan peristiwa dan teks. Sementara medium audio pula mengandungi beberapa elemen bunyi seperti muzik, objek (dikenali sebagai kesan bunyi) dan yang paling banyak ialah ujaran yang terdiri daripada elemen bahasa. Dengan kata lain, apabila seseorang menonton filem ataupun TV, terdapat dua sumber maklumat untuk memahami apa yang sedang ditontonnya. Sumber pertama ialah gambar-gambar yang sedang ditayang pada skrin (visual). Umpamanya, penonton memahami pelakon sedang bergaduh dengan hanya melihat aksi pergaduhan. Sumber kedua pula ialah dialog pada skrip yang diperdengarkan kepada penonton (audio). Kombinasi audiovisual ini dipilih, dimantapkan, disesuaikan dan seterusnya dimanipulasikan untuk menyampaikan mesej.
(Dipetik daripada PhD thesis Sarinah Binti Sharif (University Malaya) yang berjudul Terjemahan kata kerja bahasa Jepun ke Bahasa Melayu dalam sari kata filem animasi Jepun: 2014)
posted by: Muhd Iqbal Hanafi Bin Mas'ud (A166730)