PENTERJAMAHAN YANG DILAKUKAN DENGAN MENGGUNAKAN BAHASA ISYARAT


PENTERJAMAHAN YANG DILAKUKAN DENGAN MENGGUNAKAN BAHASA ISYARAT

Bahasa isyarat merupakan suatu bentuk komunikasi yang digunakan oleh golongan kurang upaya pendengaran (GKUP). Penggunaan bahasa isyarat boleh juga digunakan oleh golongan yang mempunyai masalah dalam bertutur, golongan yang tidak boleh mempelajari bahasa melalui pertuturan, dan golongan yang tidak boleh mendengar. Hal ini kerana, penggunaan bahasa isyarat memudahkan komunikasi golongan kurang upaya pendengaran dan memberi peluang kepada GKUP untuk meluahkan rasa, pendapat, idea, perasaan dan sebagainya. Keunikan bahasa isyarat dapat dilihat apabila timbul bentuk atau simbol tangan yang memberi makna terhadap sesuatu keadaan. Selain itu, bahasa badan dan ekspresi muka menjadi daya tarikan dan intonasi dalam penggunaan bahasa isyarat. Di Malaysia, BIM merupakan bahasa utama untuk orang kurang upaya pendengaran. (Syar Meeze Mohd Rashid: 2017)
Menurut Catford, J.C (1965),  terjemahan dapat ditafsirkan dengan penggantian bahan teks dalam sesuatu bahasa (bahasa sumber) dengan bahan yang sepadan dalam bahasa lain (bahasa sasaran). Kita dapat dilihat disini bagi mereka yang mempunyai masalah dalam bertutur, terjemahan boleh dilakukan dalam bentuk isyarat yang dapat mentafsirkan perkataan asal sesuatu bahasa.

Pada tahun 1996, komuniti GKUP telah bersepakat untuk memulakan projek pembangunan bahasa isyarat Malaysia (BIM) kerana komuniti ini telah dipertikaikan oleh GKUP luar negara kerana tiada bahasa isyarat sendiri malahan menggunakan bahasa isyarat Amerika. Usaha itu telah membuahkan hasil sehinggakan pada tahun 2000 BIM telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi GKUP di Malaysia dan kemudiannya diiktiraf oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (Mohamed Sazali Shaari, 2004). Perkembangan pembangunan BIM semakin meningkat apabila Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) telah menubuhkan Pusat Latihan Bahasa Isyarat Malaysia yang bertujuan bagi memudahkan komunikasi antara GKUP dengan golongan tipikal. Kini, BIM telah diguna pakai secara meluas dalam kalangan GKUP malahan golongan tipikal atau golongan yang boleh mendengar turut ingin mempelajari BIM. Menurut Mohamed Sazali Shaari (2004) BIM digunakan dalam komunikasi golongan kurang upaya pendengaran (GKUP) seharian dan merupakan lambang identiti GKUP di Malaysia yang kaya dengan pelbagai budaya. BIM dianggap sebagai lambang identiti orang kurang upaya pendengaran kerana bentuk isyarat adalah menurut kepada cara hidup dan budaya serta tidak terpengaruh daripada unsur luar yang lain (Mohamed Sazali Shaari, 2004). Melalui penggunaan BIM sesuatu maklumat atau ilmu pengetahuan dapat disampaikan dengan lebih baik dan berkesan (Abdullah Yusoff & Rabiaah Mohamed, 2009). Dari aspek penyampaian ilmu agama penggunaan BIM amat diperlukan khususnya dalam pemahaman terhadap terjemahan ayat suci al-Quran terutamanya dalam surah Al-Fatihah. (Syar Meeze Mohd Rashid: 2017)

Daripada perkembangan ini kita dapat lihat bahawa masyarakat dunia tidak mengetepikan golongan ini, malahan menyediakan kemudahan yang amat membantu bagi menyumbang kepada negara dan ummah. Golongan ini tidak diketepikan kerana mereka juga turut dapat memahami ayat suci Al-quran terutamanya disebabkan penterjemahan yang dilakukan dalam bentuk bahasa isyarat.

(Dipetik daripada Jurnal Syar Meeze Mohd Rashid, Mohd Hanafi Mohd Yasin, Noraidah Sahari @ Ashaari (Universiti Kebangsaan Malaysia) yang berjudul Penggunaan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) di dalam Terjemahan Maksud Surah Al-Fatihah: 2017)



posted by: Muhd Iqbal Hanafi Bin Mas'ud (A166730)