Pada pendapat saya, saya tidak bersetuju dengan pandangan
yang menyatakan bahawa “tanpa penguasaan teori terjemahan pun, orang boleh
menterjemah dengan baik” kerana bagi saya bidang penterjemahan adalah
bidang yang terdapat disiplin ilmunya yang tersendiri. Menurut Kamus Dewan (1993);
halaman 1351, menterjemah
merupakan satu proses memindahkan (karangan dll) daripada suatu bahasa kepada
bahasa yang lain. Penterjemahan juga merupakan aktiviti yang penting untuk
mengetahui kandungan sesuatu teks yang ditulis dalam bahasa yang tidak difahami
serta untuk menyebarkan ilmu pengetahuan asal kepada pembaca asing. Oleh itu,
seseorang penterjemah yang baik perlu menguasai teori dan kaedah terjemahan
agar karya terjemahan yang dihasilkan membawa makna yang sama dengan karya asal
dan tidak tersasar dari disiplin ilmu terjemahan ilmu itu sendiri.
Teori dan
kaedah terjemahan juga penting dalam mengekalkan gaya penulis asal serta mesej
yang ingin disampaikan dalam teks sumber. Ciri-ciri kebudayaan serta ciri
idiosinkratik yang istimewa yang mungkin terdapat dalam teks asal juga dapat
disampaikan secara tepat ke dalam bahasa sasaran apabila menggunakan teori dan
kaedah terjemahan yang betul.
Etienne Dolet (1509-1546), bapa teori
terjemahan merupakan orang pertama yang mengemukakan teori terjemahan.
Antaranya, penterjemah mestilah menguasai dengan baik bahasa asal dan bahasa
penerima agar dapat memahami isi dan hasrat penulis teks asal. Menggunakan
bentuk-bentuk bahasa yang biasa digunakan di dalam bahasa penerima untuk
menggantikan bahasa asal adalah antara kaedah yang perlu digunakan oleh
penterjemah untuk menghasilkan karya terjemahan yang baik. Selain itu,
penterjemah juga tidak boleh menterjemah perkataan demi perkataan kerana
perbuatan itu akan merosakkan makna asal teks tersebut dan menyebabkan
terjemahan itu sukar difahami oleh para pembaca.
Menurut Bell (1991),
terjemahan adalah ungkapan dalam bahasa lain (bahasa sasaran) terhadap apa yang
telah dinyatakan atau diungkapkan dalam bahasa asal/sumber, dengan memelihara
padanan semantik dan juga padan gaya. Oleh itu, teori semantik juga perlu
digabungkan dalam teori terjemahan agar dapat menghasilkan karya terjemahan
yang benar-benar bermutu dan mampu menyampaikan maklumat sebenar kepada
pembaca.
Terdapat banyak lagi kaedah-kaedah serta teori terjemahan yang perlu
dikaji dan diterokai untuk menjadi penterjemah yang bertauliah.
Kesimpulannya, sebelum kerja-kerja terjemahan dilaksanakan, adalah
penting bagi seseorang penterjemah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan
tentang teori dan kaedah terjemahan kerana penterjemahan bukanlah suatu proses
yang mudah dan mampu dilakukan oleh semua orang.
Posted by: Siti Nur Adilah Bt Awang (A162801)