Penterjemahan bukanlah suatu kerja yang mudah. Kebanyakan orang
menganggap hanya dengan mengetahui dua bahasa, seseorang itu sudah dapat
menjadi penterjemah yang baik. Ini merupakan antara tanggapan yang salah kerana
penterjemahan merupakan satu disiplin ilmu yang mempunyai teori-teori,
kaedah-kaedah yang mesti dipatuhi agar karya terjemahan yang dihasilkan membawa
makna yang sama dengan karya asal. Oleh itu, seorang penterjemah mestilah
melengkapkan diri dengan pelbagai syarat dan kebolehan sebelum berupaya
menterjemah sesebuah teks dengan baik.
💦SYARAT-SYARAT UTAMA KELAYAKAN
MENTERJEMAH💦
1. Mengetahui
bahasa sumber dan bahasa sasaran
Pengetahuan tentang bahasa sumber seorang penterjemah mestilah
luas dan mendalam meliputi selok-belok keganjilan serta keistimewaan bahasa
sumber itu sendiri. Seterusnya, penterjemah juga mesti dapat membezakan makna
serta dapat menafsir maksud sesuatu perkataan/ayat dengan tepat. Selain dari
menguasai bahasa sumber, penterjemah juga haruslah mempunyai pengetahuan
tentang bahasa sasaran/penerima yang sama baik atau lebih baik dengan bahasa
sumber agar maklumat dan maksud dapat disampaikan dengan jelas kepada pembaca.
2. Mengetahui
topik/subjek yang akan diterjemah
Mengetahui topik atau subjek dengan mendalam juga antara syarat
utama kelayakan menterjemah yang bertujuan untuk menjamin ketepatan dan
kesempurnaan makna yang dipindahkan. Ia bukan sahaj penting dalam penterjemahan
teks-teks khusus malah ia juga penting dalam penterjemahan teks-teks sastera.
3. Menguasai
teori terjemahan
Penterjemahan adalah bidang yang mempunyai disiplin ilmu dan
teorinya yang tersendiri. Penterjemahan yang baik bukan terhad kepada pindaan
perkataan sahaja malah ia berkait juga dengan pemindahan idea, maklumat dan
gaya yang ingin disampaikan oleh bahasa sumber. Oleh itu, penterjemah perlulah
melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya dalam bidang teori
dan kaedah terjemahan agar gaya penulis asal serta mesej yang ingin disampaikan
dalam teks sumber dapat dikekalkan.
4. Mengetahui
sasaran/khalayak pembaca
Untuk menghasilkan karya terjemahan yang baik, penterjemah juga
mestilah mengetahui sasaran pembaca dan juga menggunakan laras bahasa yang
bersesuaian dengan pembaca. Sebagai contoh, Jika sasaran pembaca ialah
kanak-kanak, maka laras bahasa yang digunakan mestilah sesuai dengan
kanak-kanak tersebut.
Diolah oleh: Siti Nur Adilah Binti Awang (A162801)
Idea Asal : Dr. Maheram Ahmad